
MPAG KOMITED TINGKAT KECEKAPAN, INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM
ALOR GAJAH 3 April – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) komited meningkatkan kecekapan, kualiti perkhidmatan dan integriti dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim menegaskan nilai integriti, profesionalisme dan akauntabiliti penting sebagai pegangan utama dalam setiap aspek tugas yang dilaksanakan.
“Saya menyeru semua warga MPAG untuk menerapkan sikap proaktif, inovatif dan berdaya saing dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Saya percaya dengan semangat kebersamaan, keikhlasan dan tanggungjawab yang utuh, kita akan dapat terus memacu kejayaan dan menjadikan MPAG sebagai sebuah institusi yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi bulan Mac 2025 di Dewan Bougainvilla MPAG di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian MyPortfolio bagi kakitangan yang baru dilantik, Anugerah Staf Cemerlang Bulan Februari 2025 dan Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024.
TPr. Saifuddin turut menyatakan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya terletak pada seorang individu, tetapi pada kekuatan dan perpaduan setiap warganya.
“Marilah kita bersama-sama mengorak langkah dengan penuh komitmen, menjadikan integriti dan profesionalisme sebagai teras dalam setiap tindakan, serta terus berinovasi demi kecemerlangan bersama.
“MPAG akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Setiap usaha dilakukan bukan sahaja untuk memenuhi amanah kerja, tetapi juga mencerminkan dedikasi kita dalam memberikan manfaat kepada rakyat.
“Dengan semangat kebersamaan dan integriti, MPAG pasti akan terus maju dan berjaya dalam mencapai visi dan misi yang telah kita tetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.