
DOKTOR WANITA MAUT DALAM PERJALANAN PULANG BERAYA KE KELANTAN
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Noor Shirlyna Irma Ngah, 42, yang bertugas sebagai pegawai perubatan (doktor) di Hospital Shah Alam.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.50 pagi tadi, yang memaklumkan berlaku satu kemalangan antara lori telur dan sebuah kenderaan serba guna (MPV) jenis Nissan Serena di LPT2 kira-kira 4.30 pagi.
Sharudin berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu suami mangsa yang dalam perjalanan dari Shah Alam untuk pulang beraya ke Kelantan, melanggar belakang lori telur yang datang dari arah Melaka ke Tanah Merah, Kelantan secara tiba-tiba.
“Rempuhan tersebut menyebabkan MPV dinaiki mangsa bersama suami serta empat anaknya yang berusia antara enam hingga 17 tahun berpusing-pusing.
“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu dan penumpang lain dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan.
Bagaimanapun Sharudin berkata pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati memandu ketika musim perayaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.