Sorting by

×

ALUMNI UTEM TERUS BERJASA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Mac – Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bergiat aktif dalam usaha membantu universiti dari semasa ke semasa dan terkini memberi sumbangan bagi aktiviti pelajar dan elaun sara hidup mahasiswa.

Pihak Alumni UTeM telah menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Tabung Aktiviti Pelajar serta inisiatif Program Adik Angkat yang menyediakan bantuan elaun sara hidup kepada mahasiswa UTeM melalui sokongan syarikat-syarikat milik Alumni UTeM.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penglibatan aktif dan komitmen berterusan pihak Alumni sesebuah universiti merupakan satu perkara bernilai besar dalam menzahirkan hubungan baik yang terus terjalin erat antara universiti dan alumni.

Jelasnya, keterlibatan aktif alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti merupakan antara bukti bahawa hubungan antara graduan dan alma mater terus utuh, malah berkembang ke arah jaringan profesional yang lebih kukuh.

“Komitmen alumni dalam membantu pelajar bukan sahaja mencerminkan rasa cinta kepada universiti, tetapi juga memperlihatkan kesedaran tinggi terhadap keperluan menyokong generasi akan datang dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kerjaya,” katanya sewaktu Majlis Iftar Alumni UTeM di salah sebuah hotel di Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis itu telah dihadiri lebih daripada 100 alumni di mana ia bukan sekadar pertemuan biasa tetapi menjadi simbol kebersamaan dalam membina legasi kecemerlangan UTeM serta menyemarakkan budaya menyumbang dalam kalangan alumni.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengarah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim; Presiden Persatuan AUTeM, Ts. Mohd Nor Irman Sulaiman; serta Presiden AUTeM Chapter Zon Tengah, Che Mohamad Izzat Che Mohd Idris.

Sementara itu, Ts. Mohd Nor Irman menegaskan kepentingan kesinambungan hubungan antara alumni dan UTeM sebagai satu ekosistem yang menyokong kecemerlangan pelajar dan universiti.

“Alumni bukan sekadar penyokong tetapi juga rakan strategik universiti dalam mencorak pembangunan pendidikan tinggi serta membuka peluang kepada pelajar untuk lebih berdaya saing di peringkat industri.

“Seiring dengan inisiatif ini, beberapa syarikat alumni tampil menghulurkan bantuan kepada mahasiswa dalam bentuk elaun sara hidup melalui Program Adik Angkat bagi memastikan golongan pelajar yang kurang berkemampuan mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang pengajian mereka,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post LlMA MAUT NAHAS EMPAT KENDERAAN DI KLUANG
Next post KENDERAAN BERAT LEBIH HAD MUATAN PUNCA UTAMA KEROSAKAN JALAN – NANTA