
RM9 JUTA KEMBANGKAN SEKTOR AKUAKULTUR MELAKA
TANJUNG BIDARA 26 Mac – Menjadi hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk melihat lebih ramai nelayan di Negeri Melaka yang mampu memperoleh pulangan hasil lebih tinggi dan luar biasa dengan mengaplikasikan teknologi akuakultur.
Jelas Ketua Menteri, ketika ini Kerajaan Melaka sedang menunggu peruntukkan berjumlah RM9 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengembangkan dan meluaskan lagi teknologi akuakultur kepada nelayan tempatan serta menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negeri.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, peruntukan itu diluluskan Perdana Menteri ketika mesyuarat majlis kewangan negara baru-baru ini dan dijadualkan akan disalurkan kepada Melaka pada tahun ini juga.
“Kerajaan sentiasa memikirkan mengenai masa hadapan nelayan di Negeri Melaka, termasuk mereka terjejas akibat pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP) di Alor Gajah, bagaimana cara dan usaha boleh dilaksanakan bagi membantu mereka ini untuk terus menjana pendapatan.
“Kita akan minta persatuan nelayan seluruh Melaka untuk mengenal pasti lokasi sesuai bagi projek akuakultur untuk menjalankan projek ternakan hasil laut seperti udang, kupang dan ikan yang mampu memberikan hasil amat baik serta pulangan lumayan kepada pengusahanya.
“Contoh, sekarang di Merlimau kita sudah ada nelayan yang sebelum ini keluar ke laut lepas untuk menangkap ikan, sekarang sudah mampu menikmati pulangan hasil lebih baik dengan mengusahakan ternakan kupang. Lebih membanggakan produk diusahakan antara yang terbaik di negara ini,” katanya ketika berucap pada Program Bayaran Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Pembangunan KLIP di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama Timbalannya Low Chee Leong, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengerusi Linggi Base Sdn Bhd, YM Raja Datuk Malik Saripulazan serta Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.
Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri mula memberikan penekanan terhadap bidang akuakultur kerana mampu menjana hasil amat baik dengan pendapat lebih lumayan berbanding menangkap ikan mengikut kaedah tradisional diamalkan nelayan ketika ini.
“Saya sentiasa memberikan sokongan dan ruang kepada nelayan, insya-Allah selepas ini kita akan memajukan sektor akuakultur di semua daerah di Melaka ini,” kata Ketua Menteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.