
PEMBERIAN EX-GRATIA KEPADA NELAYAN DIPERCEPATKAN
TANJUNG BIDARA 26 Mac – Pemberian ex-gratia kepada nelayan terjejas akibat pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP) yang dipercepatkan adalah bukti Kerajaan Negeri amat cakna terhadap aspek kebajikan golongan itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.43 juta diserahkan sebagai bantuan sagu hati ex-gratia fasa ketiga kepada 438 nelayan yang terjejas.
Jelas Ketua Menteri, penerima melibatkan 265 nelayan dari daerah Alor Gajah, diikuti 39 nelayan darat juga dari Alor Gajah dan 134 nelayan sekitar perairan Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Angka ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan setiap individu yang terkesan terus terbela. Bantuan ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada golongan nelayan tetapi juga sebagai persediaan menjelang Syawal yang bakal tiba agar keluarga mereka dapat menyambut hari lebaran dengan lebih tenang dan sejahtera.
“Saya menaruh harapan yang tinggi agar saudara dan saudari terus menyokong segala inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan bumi bertuah ini terus maju, mencapai kestabilan ekonomi serta pembangunan yang mampan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bayaran Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Pembangunan KLIP di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama Timbalannya Low Chee Leong, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengerusi Linggi Base Sdn Bhd, YM Raja Datuk Malik Saripulazan serta Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, usaha itu juga membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa responsif terhadap cabaran dihadapi rakyat, khususnya komuniti nelayan yang terkesan dengan pembangunan KLIP.
“Sesungguhnya, kesemua inisiatif telah dan akan dilaksanakan ini merupakan tanda komitmen serta kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memberi perkhidmatan terbaik, selain menterjemahkan kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terus menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.