
MELAKA PERKASA LIMA TERAS BAGI KEMAJUAN PELANCONGAN NEGERI
BANDARAYA MELAKA 21 Mac – Melaka melaksanakan lima teras utama yang menjadi pemangkin bagi pembangunan dan kemajuan industri pelancongan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang diberi perhatian adalah meningkatkan infrastruktur dan teknologi bagi memperkukuhkan fasiliti pelancongan dengan mengutamakan kelestarian serta kesejahteraan rakyat khususnya pengangkutan awam.
“Sebagai permulaan, sebanyak lima unit ‘EV Bus’ disediakan yang diselaraskan melalui program Jelajah Bandaraya Melaka dengan BAS.MY Melaka M100 bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat serta pelancong.
“Malah pada masa sama juga, Kerajaan Negeri sedang giat membaik pulih Melaka Sentral sebagai pusat transit utama yang menyambut kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta barisan kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, teras kedua pula yang menjadi pemangkin adalah memperkenalkan transformasi digital dalam sektor pelancongan apabila Melaka menjadi negeri pertama merealisasikan Inisiatif Kampung Digital.
“Selain itu menerusi inisiatif ini juga Kerajaan Negeri mempertingkatkan perkhidmatan beca dengan mendigitalisasikan perkhidmatan tersebut agar lebih sistematik, sekali gus menjamin keselamatan penumpang termasuk pelancong.
“Menggiatkan pemasaran yang lebih agresif pula diletakkan di bawah teras ketiga apabila Kerajaan Negeri menyertai misi dagangan ke negara-negara sasaran seperti ITB Berlin dan World Travel Market London bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya.
Jelas beliau, bagi teras keempat pula, Kerajaan Negeri optimis dalam membangunkan lebih banyak Produk Pelancongan Baharu Tempatan seperti program inap desa dan penginapan bertemakan budaya Melaka termasuk ‘Food Tourism’.
“Untuk itu pada tahun 2025 sejumlah RM300,000 Dana Pembangunan Usahawan disalurkan bagi menyokong usahawan dalam pelbagai sektor termasuk kraftangan dan pengusaha makanan tradisional.
“Tidak dilupakan juga, untuk julung kalinya Kerajaan Negeri turut mengangkat kembali sukan tradisional warisan Melaka seperti dam aji dan konda kondi.
“Justeru itu, besar harapan saya agar sesi libat urus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh jabatan dan agensi yang berkaitan untuk memperoleh maklumat lebih terperinci daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam usaha memajukan industri pelancongan di bumi bertuah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.