Sorting by

×

MELAKA TERUSKAN TRADISI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DI 28 DUN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Penganjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap diteruskan tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau memaklumkan tradisi itu diteruskan bagi menyantuni rakyat sempena perayaan dan pada masa ia juga menjadi medan dalam mendekatkan pemimpin bersama rakyat, di mana penjadualan rumah terbuka itu akan dimaklumkan kelak.

Bagaimanapun, Ketua Menteri berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada sambutan Hari Raya MADANI Peringkat Kebangsaan 2025, di mana sambutan penuh kemeriahan itu akan dihadiri pemimpin utama negara, termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri kabinet.

Jelas beliau, sambutan itu akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada tanggal 5 April bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Jadi, kita menjemput seluruh rakyat Melaka hadir memeriahkan sambutan ini memandangkan Melaka telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi sambutan besar-besaran ini.

“Dianggarkan lebih 50,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat akan hadir menghadiri sambutan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post WTD, WTC 2025: MELAKA PERKENAL PRODUK PELANCONGAN BAHARU
Next post PEMBAYAR ZAKAT FITRAH RM15, RM22 MENINGKAT