
SENTIASA PANTAU, SELENGGARA LONGKANG DIPENUHI SAMPAH
AYER KEROH 18 Mac – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan Saliran dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) digesa sentiasa bersiap siaga serta memantau dan menyelenggara longkang konkrit yang dipenuhi daun kering dan sampah secara berterusan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan apabila berlaku hujan lebat berterusan.
Jelas beliau, pemantauan dan penyelenggaraan perlu dilakukan sehingga proses pelepasan akhir saliran air (final discharge) berjalan lancar, selain semua Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah diluluskan juga perlu disegerakan.
“Pada 6 Mac yang lalu, Melaka turut terkesan dengan bencana banjir yang melanda di
beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah dan Jasin.
“Kerajaan Negeri terus bertindak dengan menyediakan lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selain memperuntukkan sebanyak RM180,000 termasuk kit keluarga, kit makanan dan kit kebersihan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.