Sorting by

×

964 JUALAN RAHMAH DI MELAKA, CATAT NILAI JUALAN LEBIH RM37 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Melaka terus mengorak langkah dalam membantu rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dengan menganjurkan sebanyak 964 siri Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, secara keseluruhan, program itu berjaya mencatat nilai jualan melebihi RM37 juta dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih satu juta penduduk di negeri ini.

“Selain itu dalam usaha meringankan beban pengguna di bulan Ramadan, Bazar Ramadan Rahmah (BRR) turut mendapat sambutan hangat.

“Bazar ini menerima penyertaan sebanyak 225 peniaga berdaftar dalam inisiatif Jualan Menu Rahmah kepada golongan memerlukan di negeri ini.

“Besar harapan saya, agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan sempena Jualan Rahmah Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga komited dalam aspek pemantauan harga dan kepatuhan perniagaan dengan memeriksa sebanyak 29,447 premis.

“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 350 kes ketidakpatuhan berjaya dikesan. Tahniah kepada warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka atas kejayaan memanfaatkan media sosial sebagai platform penyampaian maklumat yang efektif.

“Ini adalah bukti komitmen dan keprihatinan warga KPDN Melaka yang wajar kita contohi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MELAKA LAKAR LEBIH 90 KEJAYAAN DALAM TEMPOH DUA TAHUN
Next post SENTIASA PANTAU, SELENGGARA LONGKANG DIPENUHI SAMPAH