
PEMBAYAR ZAKAT FITRAH RM15, RM22 MENINGKAT
PENGKALAN BATU 19 Mac – Jumlah pembayar zakat fitrah bagi pengguna beras Super Import dan basmati di negeri ini menunjukkan peningkatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, peningkatan itu dapat dilihat sepanjang 1 hingga 17 Ramadan apabila rata-rata umat Islam memilih pembayaran mengikut kadar RM15 dan RM22.
Katanya, kadar bayaran zakat fitrah untuk umat Islam di Melaka pada tahun ini adalah RM7, RM15 dan RM22 yang dipungut melalui 1,078 amil dilantik.
“Untuk kadar bayaran RM15 dan RM22 memang terdapat peningkatan dan menjadi pilihan apabila kita dapati ada peningkatan masing-masing sebanyak 30 dan 20 peratus.
“Antara faktornya mungkin kerana kesedaran orang ramai menunaikan kewajipan mengikut harga beras semasa berdasarkan gred dan juga ekoran kesukaran mendapat bekalan beras tempatan di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Tautan Kasih Ramadan ‘Busana Aidilfitri Asnaf’ 1446H/2025M, yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, di sebuah gedung pakaian di Bukit Piatu, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Mohamad Azmi berkata, dengan peningkatan itu ia diharap dapat mencapai sasaran Zakat Melaka untuk merekodkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta pada tahun ini.
“Tahun lalu Zakat Melaka berjaya merekodkan kutipan bayaran sebanyak RM6.3 juta dan pada tahun ini kita mensasarkan pertambahan kepada RM6.5 juta.
“Justeru itu, kita amat berharap momentum ini akan terus dikekalkan sekali gus meningkat sehingga ke akhir Ramadan nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.