Sorting by

×

REZEKI ANAK DAPAT BAJU RAYA PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

Oleh: Azwani Mohammad

PENGKALAN BATU 18 Mac – Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat 210 anak-anak fakir, miskin dan yatim dari 42 buah sekolah seluruh Negeri Melaka apabila mereka menerima sepersalinan busana raya serba baharu.

Sumbangan itu merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat Zakat Melaka dengan kerjasama Public Islamic Bank Berhad bagi menjaga kebajikan mereka yang memerlukan.

Bapa kepada salah seorang penerima bantuan, Halizal Halidon, 38, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pembayar zakat kerana menggembirakan anaknya menjelang lebaran yang akan tiba tidak lama lagi.

“Menerusi sumbangan baju raya dan duit raya ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban memandangkan keluarga saya merupakan keluarga yang besar dengan anak seramai lima orang.

“Seperti semua sedia tahu, untuk menyediakan baju raya serba lengkap, harganya agak mahal dan sedikit membebankan bagi keluarga besar seperti saya.

“Jadi, apabila pertama kali mendapat bantuan sebegini memang saya bersyukur sangat dan menganggap ini rezeki untuk anak saya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu penyampaian sumbangan itu telah disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman pada program Tautan Kasih Ramadan ‘Busana Aidilfitri Asnaf’ 1446H/2025M di sebuah gedung pakaian di Bukit Piatu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post BAYAR ZAKAT BERSEMUKA MASIH JADI PILIHAN
Next post MELAKA UMUM 2 INISIATIF KHAS AIDILFITRI