
BAYAR ZAKAT BERSEMUKA MASIH JADI PILIHAN
PENGKALAN BATU 18 Mac – Kaedah pembayaran Zakat Fitrah menerusi amil tetap menjadi pilihan umat Islam di negeri ini meskipun terdapat kemudahan kaedah pembayaran dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, tradisi pembayaran secara bersemuka merekodkan peratusan yang tinggi dengan 70 peratus daripada 700,000 umat Islam di negeri ini berbanding transaksi dalam talian.
“Tidak dinafikan sekarang orang ramai lebih gemar memilih transaksi pembayaran dalam talian kerana mudah namun untuk pembayaran zakat fitrah situasinya agak berlainan kerana pembayaran secara bersemuka dengan amil menjadi pilihan.
“Ini kerana pembayar ingin melafazkan akad ketika urusan pembayaran zakat fitrah dibuat selain terdapat juga bacaan doa daripada amil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Tautan Kasih Ramadan ‘Busana Aidilfitri Asnaf’ 1446H/2025M, yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, di Jakel Melaka, Bukit Piatu, semalam.
Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Menurut Mohamad Azmi, bagi memudahkan umat Islam untuk membayar zakat fitrah, pada tahun ini seramai 1,078 orang amil dilantik bagi melancarkan tugas pungutan.
“Berbanding tahun lalu, jumlah amil ditugaskan pada tahun ini terdapat pertambahan, ini disebabkan ada permintaan untuk amil-amil ini pergi ke pejabat atau syarikat.
“Setakat ini, di Melaka tiada sebarang aduan diterima berhubung kewujudan amil yang tidak bertauliah bertugas keluar untuk menguruskan pembayaran zakat fitrah,” katanya.
Terdahulu pada program itu, seramai 210 murid dari 42 buah sekolah seluruh Melaka terpilih menerima baju dan duit raya daripada Zakat Melaka yang turut bekerjasama dengan Public Islamic Bank Berhad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.