Sorting by

×

BUSANA AIDILFITRI UNTUK ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mac – Riak wajah ceria jelas kelihatan di wajah 210 kanak-kanak penerima bantuan Tautan Kasih Ramadan ‘Busana Aidilfitri Asnaf’ 1446H/2025M apabila menerima sepersalinan baju raya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua penerima itu terdiri daripada anak-anak fakir, miskin dan yatim yang terpilih dari 42 buah sekolah seluruh Negeri Melaka.

Katanya, program Tautan Kasih Ramadan adalah program tahunan Zakat Melaka untuk menyantuni anak-anak kurang berkemampuan dan ia turut membabitkan kerjasama daripada Public Islamic Bank Berhad.

“Setiap tahun anak-anak yang terpilih ini diraikan dengan pemberian set kelengkapan baju raya sebagai persiapan menyambut syawal yang bakal tiba.

“Untuk tahun ini seramai 210 murid dari 42 buah sekolah terpilih yang mana setiap sekolah diwakili oleh lima orang murid.

“Selain mereka ini diberi pilihan memilih sendiri baju raya, di pihak Zakat Melaka kita turut menyampaikan sumbangan duit raya ini secara tidak langsung dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri anak-anak ini,” katanya.

Rahmad berkata demikian ketika ditemui pada program Tautan Kasih Ramadan ‘Busana Aidilfitri Asnaf’ 1446H/2025M, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu, di sebuah gedung pakaian di Bukit Piatu, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.

Menurut Rahmad, susulan daripada penambahan kutipan zakat, penerima bantuan pada tahun ini turut bertambah kepada 210 penerima berbanding hanya 150 orang pada tahun lepas.

“Disebabkan itu kita amat menggalakkan pembayaran zakat kerana ia dapat dikongsi dengan mereka yang kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf.

“Malah pada program ini juga Public Islamic Bank Berhad melalui sumbangan wakalah zakat menyalurkan RM20,000 bagi menampung kos perbelanjaan ini,” katanya.

Tambah Rahmad, program itu juga merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat Melaka dalam menjaga kebajikan dan keprihatinan anak-anak asnaf fakir dan miskin yang memerlukan sumbangan baju raya pada tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post JUALAN MADANI KOPERASI MELAKA PADA 25 MAC INI
Next post PERMAINAN VIDEO ROBLOX INSPIRASI PERKAMPUNGAN HANG TUAH