
PINTU MASUK AYER KEROH ‘BERCAHAYA’ SAMBUT KEPULANGAN ANAK RANTAU
AYER KEROH 19 Mac – Pintu masuk Ayer Keroh akan dihiasi dengan pelbagai lampu berwarna-warni bagi menyambut kepulangan anak rantau pada Aidilfitri tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, antara hiasan yang akan dipasang adalah seperti lampu berbentuk ketupat, bulan dan bintang serta pelbagai hiasan menarik.
Jelas beliau, antara kawasan yang diberti tumpuan bagi kerja-kerja keceriaan sempena Aidilfitri adalah di pintu gerbang Ayer Keroh, kawasan sekitar Seri Negeri, jejambat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) serta kawasan-kawasan lain.
“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memang sudah menjadi tanggungjawab MPHTJ untuk menceriakan lokasi-lokasi tumpuan pada musim perayaan.
“Malah, memandangkan Ayer Keroh bakal menjadi lokasi sambutan Hari Raya Madani Peringkat Kebangsaan 2025, kita akan tambah baik bukan sahaja dalam pencahayaan tetapi juga landskap untuk Aidilfitri kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Masih Ada Yang Sayang dan Sumbangan Aidilfitri 2025 MPHTJ di sebuah pusat beli belah, di sini, baru-baru ini.
Menurut Sapiah, MPHTJ memperuntukkan lebih RM200,000 bagi menambah baik keceriaan dan landskap di kawasan Hang Tuah Jaya sempena Aidilfitri tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.