Sorting by

×

SISA PEPEJAL MENURUN, SISA MAKANAN MENINGKAT DI TAPAK PELUPUSAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Jumlah sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 2.7 peratus sepanjang Ramadan ini berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata, bagaimanapun jumlah bagi sisa makanan pula mencatatkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus.

“Peningkatan ini berpunca daripada aktiviti penyediaan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan serta persiapan masyarakat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk pembuatan kuih-muih.

“Berdasarkan kajian kami pada Ramadan tahun lalu (2024) melibatkan 2,273 responden, sebanyak 70 peratus mengakui mempunyai makanan yang tidak habis dimakan, manakala 51 peratus mengatakan mereka memasak secara berlebihan.

“Selain itu, 49 peratus responden menyimpan makanan dalam peti sejuk terlalu lama yang akhirnya boleh menyebabkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelaksanaan Program My Save Food Negeri Melaka di Bazar Ramadan MITC di sini, semalam.

Justeru, bagi menangani isu peningkatan sisa makanan, beliau memaklumkan SWCorp telah melancarkan program ‘My Save Food’ yang bertujuan menyelamatkan lebihan makanan yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar Ramadan.

“Program ini berlangsung sehingga 21 Mac 2025 dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3, yang menyasarkan pengurangan separuh daripada sisa makanan global menjelang tahun 2030.

“Justeru kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan, NGO dan masyarakat amat penting dalam memastikan lebihan makanan dapat dikurangkan secara berkesan.

“Kami menyeru masyarakat untuk lebih bijak dalam mengurus makanan bagi mengelakkan pembaziran yang semakin membimbangkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM 2 INISIATIF KHAS AIDILFITRI
Next post MELAKA LAKAR LEBIH 90 KEJAYAAN DALAM TEMPOH DUA TAHUN