
TREND BELI ‘ONLINE’ TIDAK JEJAS PENIAGA BAZAR KLEBANG
KLEBANG 19 Mac – Walaupun trend pembelian dalam talian yang kini menjadi kegilaan rakyat Malaysia, namun ia tidak menjejaskan peniaga Glam Bazar Ramadan Klebang.
Penganjurnya, Abdul Rashid Omar berkata, ia berikutan rata-rata peniaga di bazar ini turut mempamerkan kreativiti masing-masing dalam menjual barangan, bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga mempromosikannya secara dalam talian.
Menurutnya, boleh dikatakan hampir semua peniaga di bazar tersebut menjual barangan mereka secara ‘langsung’ di platform media sosial.
“Tidak dinafikan trend pembelian dalam talian ini semakin mendapat sambutan, namun peniaga perlu bijak dan lebih kreatif untuk menarik pembeli.
“Alhamdulillah, saya lihat rata-rata peniaga khususnya di bazar Klebang ini hampir kesemuanya menjual barangan mereka secara dalam talian juga. Jadi tidak menjadi masalah buat mereka untuk buka tapak dan turut menjual secara fizikal.
“Pengunjung juga hampir setiap malam memang ramai, melebihi 10,000 orang yang berkunjung ke sini, dan menjelang lebaran kita menjangkakan jumlah itu terus meningkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Glam Bazar Ramadan Klebang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut menzahirkan rasa gembira apabila bazar berkenaan menduduki tempat keempat sebagai bazar terbaik dalam Malaysia.

Jelasnya, memasuki tahun ketiga penganjuran bazar terbabit, dia sememangnya mahu menyediakan tapak bazar yang bukan sahaja selesa untuk pengunjung malah untuk peniaga juga.
“Jika tahun ini bazar ini di tangga keempat, mungkin jika diberi kesempatan lagi menganjurkan bazar di sini, kita akan cuba untuk berada di tempat pertama. Yang terbaik dalam negara, Insha-Allah,” ujarnya.
Katanya, bagi menarik kunjungan ramai, Glam Bazar Ramadan Klebang turut menyediakan hadiah cabutan bertuah menarik iaitu berupa dua buah kereta Perodua Axia, lapan motosikal, barangan elektrik serta hadiah wang tunai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.