
BOLEH MOHON SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI SURAU, PADANG AWAM
TANJUNG BIDARA 18 Mac – Bagi memberikan keselesaan kepada perantau yang pulang ke kampung, Jabatan Mufti Negeri Melaka membuka permohonan bagi mengadakan solat sunat Aidilfitri pada tahun ini di surau dan padang terbuka.
Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu adalah berdasarkan kepada permintaan daripada penduduk kampung yang mahukan lokasi tambahan bagi melaksanakan ibadah berkenaan berikutan masjid sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai.
“Kita memahami masalah timbul akibat jumlah jemaah yang ramai, permohonan boleh dikemukakan kepada pejabat Agama Daerah yang kemudian akan dirujuk ke Bahagian Pengurusan Masjid dan Jabatan Mufti untuk dipertimbangkan.
“Apabila diluluskan kita sediakan khutbah, khatib akan disediakan oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui pada Program Berlaga Centong Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana peringkat Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Terdahulu beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan gimik penyerahan bubur lambuk kepada wakil penerima.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan NEGERI Dato’ Azhar Arshad, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.
Hari sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) Datuk Dr. Adnan Mat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.