Sorting by

×

KEMBALIKAN NOSTALGIA MEMASAK BUBUR LAMBUK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Mac – Kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memeriahkan lagi suasana penganjuran Program Berlaga Centong Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara dan Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Masjid Tanah, di sini, hari Ini.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Yang turut hadir adalah Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) Datuk Dr. Adnan Mat.

Abdul Halim berkata, program itu melibatkan gotong-royong memasak 13 kawah dodol dan 14 periuk bubur lambuk hasil kerjasama strategik Jabatan Mufti Negeri Melaka, Zakat Melaka, CEUPACS,  semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Tanjung Bidara dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

“Alhamdulillah bermula jam 9 pagi, 400 sukarelawan memulakan proses untuk memasak kedua-dua hidangan ini. Secara keseluruhan sebanyak 3,500 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada pelajar, penduduk sekitar dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak.

“Bukan sahaja menggalakkan budaya bersedekah sepanjang Ramadan program seumpama ini juga menghidupkan semula nostalgia lama setiap kali menjelang Aidilfitri apabila kali ini kita semua beramai-ramai mengecau dodol dan memasak bubur lambuk,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Terdahulu beliau turut mengiringi Ketua Menteri menyerahkan sumbangan bubur lambuk kepada wakil penerima yang antaranya Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kolej Matrikulasi Londang, pusat tahfiz dan sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1
Kongsi :
Previous post ANAK YATIM JENTIK HATI KENG CHIA PELUK ISLAM
Next post ZIARAH KASIH DUN KESIDANG: ALLEX SAMPAIKAN BANTUAN AIDILFITRI