
ANAK YATIM JENTIK HATI KENG CHIA PELUK ISLAM
KESIDANG 17 Mac – Keindahan cara kehidupan Islam yang tertib dan teratur diamalkan anak-anak yatim yang dijaganya ‘menjentik’ hati lelaki ini untuk mengucapkan dua kalimah syahadah seterusnya bergelar saudara baharu.
Chua Keng Cia, 41, berkata, selama tujuh tahun dia menjadi pemerhati dan jatuh cinta kepada corak kehidupan Islam sebelum mengambil keputusan melafazkan syahadah di pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), pada 3 Januari lalu.
Meskipun mengambil masa yang agak lama sebelum nekad mengucap syahadah, Keng Cia meluahkan perasaan lega dan kini dia menjalani kehidupan yang lebih tenang.
“Alhamdulillah dan syukur, hati saya tergerak untuk memeluk Islam dan menjadi Muslim sejati. Ada hikmah saya diberi amanah menjaga anak-anak yatim.
“Jadual hidup seharian anak-anak ini teratur, setiap kali masuk waktu solat mereka akan berjemaah, membuat hati saya terdetik untuk ikut sama malah ingin menjadi orang Islam,” katanya ketika ditemui pada Program Qiamunnahar Ramadan Bersama Mualaf Negeri Melaka Tahun 2025M/1446H di Kompleks Darul Huda, Kesidang, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun pertama kali berpuasa namun pengalaman sepanjang dua minggu amat bermakna untuk dirinya kerana dapat menunaikan solat tarawih.
“Walaupun hari pertama berpuasa agak mencabar namun saya berjaya menahan rasa lapar dan dahaga. Alhamdulillah, masih bertahan dan belum lagi ponteng puasa.
“Bertuahnya saya, apabila dikelilingi kawan-kawan saudara baru yang banyak membantu serta memberi tunjuk ajar dan itu memudahkan urusan harian,” katanya.
Jelasnya, dia juga amat berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Balai Islam kerana menyediakan banyak kelas dan program khususnya untuk saudara baru dalam mempersiapkan diri untuk menjadi Muslim sejati.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.