
BAZAR RAMADAN DI MELAKA ANTARA YANG TERBAIK DI MALAYSIA
KLEBANG 17 Mac – Tiga bazar Ramadan di Negeri Melaka berjaya menempatkan diri sebagai antara bazar terbaik di Malaysia oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, istimewanya dua daripada bazar di negeri ini berada di kedudukan 10 terbaik.
Jelas beliau, bazar berkenaan adalah Glam Bazar Klebang yang menduduki tempat keempat dan Bazar Ikonik Banda Hilir yang berada di kedudukan ke-7 terbaik di negara ini.
“Ini menunjukkan bahawa satu perancangan yang baik akan membawa pulangan yang lebih besar, bukan sahaja kepada penganjur, tetapi juga peniaga dan orang ramai.
“Rata-rata pengunjung yang datang juga menyatakan rasa selesa dan berpuas hati dengan kreativiti penganjuran bazar Ramadan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan walkabout ke Glam Bazar Klebang di sini, selain turut menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah kereta dan motosikal bagi pengunjung yang berbelanja di bazar berkenaan.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.
Tambah Ketua Menteri, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan mengalu-alukan inisiatif mengembanhkan perniagaan berkonsepkan bazar di negeri ini.
Jelasnya, ia bagi membantu masyarakat dan peniaga, khususnya dalam sektor perusahaan kecil sederhana dan mikro agar menjadi antara katalis pembangunan ekonomi Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.