
KONGSI REZEKI, SANTUNI 1,000 PENDUDUK AYER LIMAU
AYER LIMAU 17 Mac – Atas semangat mahu berkongsi rezeki pihak Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau melaksanakan Program Ihya Ramadan untuk menyantuni lebih 400 golongan kurang berkemampuan di DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program sehari pada Sabtu, melibatkan enam masjid sekitar DUN berkenaan bermula dari jam 9 pagi turut mendapat kerjasama daripada pihak Selia Selenggara.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata penerima adalah dalam kalangan golongan kurang mampu, asnaf dan ketua isi rumah mempunyai tanggungan yang ramai.
Jelasnya sumbangan dalam bentuk duit raya dan bakul makanan itu betujuan untuk menceriakan serta membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan untuk menyambut Aidilfitri.
Katanya kemuncak program adalah solat tarawih dan moreh bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Masjid Ibnu Sina Sungai Jernih.
“Terdahulu Tun Dr. Mohd Ali hadir menyampaikan sumbangan kepada penerima di Masjid Sungai Siput, seterusnya berbuka puasa bersama rakyat sebelum ke Masjid Ibnu Sina Sungai Jernih.
“Secara keseluruhan saya menyantuni 1,000 penduduk di DUN Ayer Limau dalam masa sehari, ini adalah antara usaha kami untuk membantu menceriakan dan melapangkan golongan kurang mampu agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, antara masjid yang menjadi persinggahan sepanjang program sehari ituadalah Masjid Air Limau, Masjid Tok Janggut, Masjid PAT Taqwa Paya Lebar dan Masjid An Namirah Felcra Ramuan China Kechil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.