
BENTUK MAHASISWA HARUMKAN NAMA MASJID TANAH
LENDU 16 Mac – Lebih 200 penuntut universiti diraikan pada program Meet & Iftar Mahasiswa Masjid Tanah berlangsung di sebuah kafe di pekan Masjid Tanah, di sini, pada Jumaat.
Penggerak Kelab Mahasiswa Anak Masjid Tanah, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, merangkap Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, penyertaan melibatkan mahasiswa kini sedang mengikuti pengajian di Institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Hameed berkata, penganjuran program sedemikian bukan sekadar untuk meraikan mahasiswa, sebaliknya apa yang lebih penting adalah mewujudkan jaringan kerjasama antara mereka dan melahirkan graduan berkualiti mampu mengharumkan nama Masjid Tanah.
“Ada yang tidak kenal antara satu sama lain meskipun mereka ini sebenarnya belajar di kampus yang sama, jadi majlis berbuka puasa dianjurkan menjadi platform memperkukuh jaringan perhubungan dalam kalangan mahasiswa anak Masjid Tanah.
“Jaringan hubungan juga amat penting dalam kalangan mahasiswa terutama selepas tamat pengajian, iaitu ketika mahu melangkah ke alam pekerjaan.
“Kali ini sekitar 10 peratus sahaja yang hadir, kepada mahasiswa anak Masjid Tanah yang lain dialu-alukan untuk bersama-sama aktif menerusi kelab ini, ketepikan perbezaan bangsa, agama atau fahaman politik. Kita terbuka untuk menerima sebarang pandangan demi kemajuan semua,” katanya.
Hadir sama pada malis itu Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid dan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Agus Putra Apandi
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau juga amat mengalu-alukan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti sosial yang boleh memberikan manfaat kepada kemajuan Masjid Tanah pada masa akan datang.
“Mungkin mereka ini boleh menggunakan masa terluang pada cuti semester untuk menyumbang semula kepada komuniti Masjid Tanah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk program motivasi melibatkan murid dan pelajar sekolah.
“Penglibatan dalam pelbagai program adalah satu pendedahan yang amat baik buat mahasiswa yang juga bakal pemimpin masa hadapan tidak kira peringkat negara, Negeri atau setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.