
AHLI KRT BERGOTONG-ROYONG SIAPKAN BUBUR LAMBUK
DUYONG 16 Mac – Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari 10 KRT bergotong-royong menyiapkan 15 kawah bubur lambuk bersempena Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Ramadan 1446H Peringkat Negeri Melaka, hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, program memasak bubur lambuk adalah acara tahunan dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada bulan Ramadan.
“Pada penganjuran ini sebanyak 10 kawah bubur lambuk disediakan secara bergotong-royong dan hampir 4,000 bekas bubur kita agihkan kepada komuniti setempat.
“Selain untuk mengeratkan hubungan ahli KRT dan komuniti setempat, program memasak bubur lambuk ini juga adalah sebagai meneruskan tradisi pada bulan Ramadan.
“Turut bersama-sama menjayakan program ini adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pelajar universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Ramadan 1446H Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, di Kampung Perigi Hang Tuah, hari ini.
Hee Sem berkata, program memasak bubur lambuk ini juga merupakan platform atau tapak integrasi apabila dapat mengumpulkan komuniti setempat pelbagai bangsa dan lalpisan masyarakat.
“Menerusi program kali ini, kita dapat lihat apabila ia membabitkan penglibatan menyeluruh kerana bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi ada juga bangsa lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sempena sambutan minggu perpaduan yang akan berlangsung pada 4 April depan pelbagai pengisian program menarik akan dirancang.
“Untuk sambutan itu, JPNIN akan berkolaborasi bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kerajaan Negeri. Antara yang akan diketengahkan adalah kembara perpaduan termasuklah aktiviti berkaitan semarak kenegaraan serta semarak perpaduan.
“Program yang bermula seawal pagi dan akan berakhir pada sebelah malam itu dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.