Sorting by

×

Bengkel dedah ‘rahsia’ dondang sayang

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DUYONG 22 Dis. – Seramai 83 peserta telah menyertai Bengkel Dondang Sayang anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, bertempat di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, di sini, baru-baru ini.

Pengurus Besar INSWA Nurman Mohd Baroldin berkata, bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk mengajar rahsia dan teknik berpantun untuk menyanyikan lagu dondang sayang dengan cara yang betul.

Jelasnya, ia juga bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda sekali gus memupuk rasa cinta terhadap seni warisan yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai antara khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara itu.

PESERTA diajar teknik dan cara yang betul dalam teknik nyanyian dan tarian dondang sayang.

“Tenaga pengajar khas telah disediakan untuk membantu para peserta mendalami seni ini, selain turut mengajar teknik dan cara yang betul dalam mempersembahkan dondang sayang dalam bentuk nyanyian dan tarian.

“Antara peserta yang menyertai bengkel berkenaan termasuklah pelajar sekolah rendah dan menengah serta penjawat di negeri Melaka.

“Besar harapan kita untuk melihat penganjuran ini dapat memastikan dondang sayang terus terlindung untuk diwarisi kepada generasi akan datang dan tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran bengkel berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) dan Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park.

Bengkel yang mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu berlangsung selama sehari bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Views:

1367
Kongsi :
Previous post Perkenal bakat baharu dondang sayang dalam acara rasmi Melaka
Next post ‘Glamping’ berkonsepkan eko pelancongan akan diwujudkan di Melaka
Ubah saiz-+=