Sorting by

×

PAPAN TANDA ‘RUMAH CONTOH SEDIA DIJUNJUNGI’ HARAM, TIADA PERMIT – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 16 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang memasang papan tanda haram dalam kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata ia berikutan terdapat aduan mengenai papan tanda salah ejaan yang dipasang di Kota Shahbandar.

Jelasnya, mana-mana papan tanda dengan kesilapan ejaan yang dipasang adalah secara haram dan tiada permit.

“Memang sebenarnya semua papan tanda yang dipasang perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Semua papan tanda yang mempunyai permit secara kebiasaan akan dirujuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dahulu untuk semakan ejaan dan tidak membawa maksud yang salah dan beberapa prosedur lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Iftar Santai Bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah 2025 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menurunkan papan tanda terbabit.

“Kita akan ambil tindakan, mungkin kita akan keluarkan kompaun dan sita papan tanda terbabit,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Melaka Hari Ini di Kota Shahbandar mendapati terdapat satu papan tanda yang dipasang dengan ayat ‘Rumah Contoh Sedia Dijunjungi’ sedangkan ayat yang lebih tepat adalah Rumah Contoh Sedia Dikunjungi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU TAMBAH KAWASAN REHAT ‘ABANG RIDER’
Next post RAKAN MUDA RAMADAN TINGKAT POTENSI BELIA