
LEBIH 1,500 IFTAR SANTAI BERSAMA KETUA MENTERI DI BANDA HILIR
BANDA HILIR 15 Mac – Lebih 1,500 pengunjung memeriahkan Majlis Iftar Santai Bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah 2025 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, majlis itu bertujuan merapatkan jalinan ukhwah dan kerjasama di antara warga bandaraya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Menurut beliau, majlis itu juga memberi manfaat kepada komuniti setempat serta menjadikan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa dekat dengan warga bandaraya.
“Majlis iftar santai ini juga kita sediakan juadah buat pengunjung yang terdiri daripada pelbagai usia dan bangsa yang turut serta.
“Lebih 10 jenis juadah berbuka dihidangkan, selain turut disediakan kemudahan untuk pengunjung menunaikan solat Maghrib,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Pada majlis itu juga, Ketua Menteri turut menyampaikan penyerahan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada empat Persatuan Beca Negeri Melaka dan sumbangan sebanyak RM4,000 kepada Persatuan Rakan Penghantar Melaka serta Rumah Akhlak Bukit Baru sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.