
BEKAS WARTAWAN MELAKA HARI INI MENINGGAL DUNIA
ALOR GAJAH 15 Mac – Bekas wartawan sambilan Melaka Hari Ini, Jaafar Neemat meninggal dunia di Hospital Alor Gajah, hari ini.
Allahyarham berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 pagi tadi akibat serangan jantung.
Anak sulung Allahyarham, Adi Lodfi, 54 memaklumkan, sepanjang Ramadan, bapanya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sehinggalah terkena serangan jantung sekitar jam 3 pagi tadi sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Alor Gajah.
Katanya, kesihatan bapanya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Arwah sebelum ini disahkan menghidap penyakit jantung sejak Mei 2023 dan menerima rawatan susulan di Hospital Alor Gajah dan Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.
Jenazah Allahyarham telah dimandi dan dikafankan di Hospital Alor Gajah sebelum dibawa ke Masjid Ubaidah Kampung Melaka Pindah, untuk disembahyangkan.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka Pindah selepas Zohor.
Selain Melaka Hari Ini, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia selama 20 tahun.
Allahyarham juga pernah menerajui Kelab Media Massa Melaka pada 2010.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.