
JAIM ANJUR HAMPIR 100 PROGRAM IMARAH RAMADAN
AYER KEROH 16 Mac – Hampir 100 program keagamaan dan kerohanian telah dirancang dan dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersempena Ramadan tahun ini.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, bermula 1 Ramadan sehingga menjelang Syawal, JAIM telah memenuhi takwim program dengan pelbagai pengisian khusus untuk umat Islam di masjid dan surau seluruh negeri.
Katanya, program-program tersebut diadakan secara menyeluruh merangkumi kawasan-kawasan dalam daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Antara program yang dirancang seperti menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan 2025, program ihya’ Ramadan; Khatam Perdana Qur’an Hour; qiamullail, jelajah iftar jamaie di perkampungan Orang Asli dan Street Iftar Jamaie dan pelbagai lagi.
“Kesemua program terbabit adalah penglibatan bersama masyarakat bersama pemimpin setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Md Azhan memaklumkan setakat ini pihaknya telah melaksanakan lebih 40 program bersama masyarakat di seluruh negeri ini.
“Alhamdulillah setakat ini program yang telah dilaksanakan mengikut takwim, bagaimanapun bagi program dan aktiviti yang dirancangkan ia tertakluk pada keadaan serta situasi semasa,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.