
BEBERAPA LALUAN DI MASJID TANAH AKAN DIKAJI SEMULA
AYER KEROH 16 Mac – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah akan mengkaji semula kesemua laluan di Bandar Baru Masjid Tanah yang mempunyai lima persimpangan mengelirukan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kajian dan perubahan laluan itu perlu dilakukan memandangkan kawasan itu sering dibelenggu dengan masalah kesesakan trafik dan kerap berlaku kemalangan.
Menurut beliau, antara cadangan yang sedang dalam kajian adalah membuat perubahan jalan sehala di kawasan berkenaan dan menukar laluan daripada lima arah kepada dua atau tiga arah sahaja.
“Ini untuk meminimumkan pergerakan kereta di kawasan tersebut di mana fokus utama adalah di kawasan Maybank selain jalan masuk dan keluar ke arah Petronas Masjid Tanah serta Jalan Durian Daun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Hameed, selain laluan di Bandar Baru Masjid Tanah, tumpuan turut diberikan kepada persimpangan antara Kampung Pinang ke sebuah pasar raya di Masjid Tanah yang mempunyai dua laluan dan kerap berlaku kemalangan.
“Jadi, saya minta pihak JKR mengkaji semula laluan ini dan menambah perabot jalan raya di kawasan itu.
“Selain itu, parkir-parkir yang ada di persimpangan juga dicadang akan dihapuskan bagi membantu pemandangan lebih jelas untuk pengguna jalan raya keluar atau masuk di kawasan itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.