
INFRASTRUKTUR 11 TAMAN PERUMAHAN DINAIK TARAF – MPHTJ
AYER KEROH 16 Mac – Penduduk di 11 taman perumahan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih berkualiti selepas kerja-kerja menaik taraf selesai dijalankan.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, kerja menaik taraf infrastruktur itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Bagaimanapun proses sebut harga bagi kerja menaik taraf itu sedang dilaksanakan dan kerja penyelenggaraan dijangka bermula selepas Aidilfitri ini.
“Inisiatif ini merangkumi pelbagai penambahbaikan seperti pembaikan longkang, baik pulih infrastruktur yang rosak serta menaik taraf padang permainan.
“Peruntukan diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki kemudahan asas di kawasan perumahan yang terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut Sapiah berkata pihaknya komited memastikan kesejahteraan penduduk dengan menyediakan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan teratur.
“Projek menaik taraf ini juga diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat serta memperbaiki kemudahan awam secara menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.