Sorting by

×

HANYA 30 PERATUS RAKYAT MELAKA SELESA BERBELANJA CARA DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DUYONG 15 Mac – Kerajaan Negeri akan terus memperkasa penggunaan transaksi digital tanpa tunai dalam kalangan pengguna Pasar Ramadan seluruh Negeri Melaka.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata perkara itu susulan hanya 30 peratus dalam kalangan pengguna yang menggunakan transaksi digital.

Bagaimanapun, menurut Mohd Noor Helmy, rata-rata peniaga di Pasar Ramadan telah menyediakan kod QR bagi memudahkan urusan transaksi tanpa tunai.

“Kita memahami ada dalam kalangan rakyat Melaka yang masih sukar menerima pembaharuan, mereka lebih selesa menggunakan tunai dalam urusan jual beli.

“Lebih 90 peratus peniaga di Pasar Ramadan sekitar Melaka telah menyediakan kod QR, namun hanya 30 peratus pengguna yang menjalankan urusan secara digital selebihnya secara tunai.

“Namun kita harapkan pembeli untuk bersama-sama memperkasa penggunaan transaksi digital tanpa tunai ini, di mana akan datang semua urusan akan dilaksanakan secara digital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di BRR Taman Seri Duyong yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Allex Seah Shoo Chin, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata Kerajaan Negeri akan menjalankan beberapa siri program untuk terus memperkasa penggunaan transaksi digital.

Memahami kebimbangan orang ramai, Mohd Noor Helmy turut menjelaskan golongan berusia dan warga emas antara yang kurang mahir menggunakan transaksi digital.

“Kita faham ramai yang takut akan ‘scammer’, tidak mahir menggunakan kaedah transaksi digital, namun ia bukan satu halangan untuk kita bergerak seiring dengan perubahan teknologi digital.

“Kita dapati orang muda hampir semuanya telah menggunakan transaksi digital tanpa tunai, cuma segelintir dalam kalangan mereka yang berusia, warga emas masih selesa membeli secara tunai dan itu tidak menjadi masalah setakat ini.

“Kita akan sering menjalankan kempen menyedarkan masyarakat bagaimana menggunakan kaedah digital dengan lebih selamat,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 112 ORANG MELAKA DITIPU ‘SCAMMER’, BABIT KERUGIAN RM1.032 JUTA
Next post 225 PENIAGA TAWAR MENU RAHMAH DI BAZAR RAMADAN MELAKA