Sorting by

×

TUJUH TERNAKAN DILELONG JIKA TIDAK DITUNTUT – MPAG

Masa Membaca:53 Saat

ALOR GAJAH 15 Mac – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menangkap tujuh ekor ternakan dikesan berkeliaran sekitar Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar, jam 4 pagi semalam.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, tangkapan tersebut melibatkan enam ekor kerbau dan seekor lembu yang dipercayai dibiarkan bebas tanpa kawalan oleh pemilik.

“Kita memberi tempoh selama lima hari kepada pemilik haiwan ternakan tersebut tampil bagi membuat tuntutan sebelum tindakan lelongan terbuka dijalankan.

“Sekiranya haiwan-haiwan ini tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan, proses lelongan akan dilaksanakan kepada orang ramai dengan harga ditentukan oleh pegawai pelelong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata penternak yang ingin menuntut semula haiwan mereka perlu membayar denda sebanyak RM1,000 bagi setiap ekor haiwan.

“Bayaran ini mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Haiwan Ternakan MPAG 2012.

“Justeru kita menasihatkan semua pemilik ternakan agar memastikan haiwan mereka tidak berkeliaran dan sentiasa berada dalam kandang yang selamat.

“Tindakan ini bagi mengelakkan risiko kemalangan serta gangguan kepada penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MCMC FOKUS PERANGI ISU PENYALAHGUNAAN MEDIA SOSIAL
Next post BEKAS WARTAWAN MELAKA HARI INI MENINGGAL DUNIA