
MAIM, PERKESO PERKUKUH SINERGI PASTIKAN SALURAN BANTUAN LEBIH EFEKTIF
AYER KEROH 14 Mac – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperkukuh kerjasama strategik melalui Program Social Synergy bagi memastikan bantuan disalurkan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.
Kerjasama itu terjalin menerusi lawatan kerja MAIM ke pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, baru-baru ini.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, menerusi lawatan itu MAIM secara tidak langsung telah mewujudkan satu kolaborasi pintar bersama PERKESO Melaka.
“Saya percaya usaha ini dapat mengelakkan ketirisan serta pertindihan bantuan sekali gus memastikan lebih ramai penerima yang benar-benar layak mendapat manfaat.
“Kerjasama erat ini juga memperkukuh jaringan antara PERKESO dan agensi kerajaan lain dalam usaha memastikan kesejahteraan masyarakat terutama golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu dalam lawatan itu delegasi MAIM diketuai Shaifulfazlee bersama Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta pegawai MAIM.
Manakala daripada perkeso adalah Pengarah PERKESO Melaka Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir dan Ketua Bahagian Sinergi Ibu Pejabat PERKESO Rosmasita Mohamed.
Mengulas lanjut Shaifulfazlee berharap kerjasama itu akan memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini khususnya golongan asnaf di bawah jagaan MAIM.
“Saya harap masalah ketirisan penerima bantuan dapat dielakkan sekali gus memberi manfaat kepada penerima yang lebih memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.