
RM20 JUTA ATASI HAKISAN PANTAI PUTERI, DIJANGKA SIAP 2027
PAYA RUMPUT 14 Mac – Masalah hakisan yang membelenggu Pantai Puteri bakal berakhir apabila projek tambakan pantai peranginan itu bermula tahun ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, projek berkenaan melibatkan peruntukan lebih RM20 juta yang telah diluluskan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan selesai pelantikan kontraktornya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau memaklumkan, projek itu kini sudah bermula, di mana ia akan membabitkan kerja-kerja membina benteng penahan ombak dan tambakan pasir dengan jangkaan siap pada 2027.
“Seperti kita semua sedia maklum, Pantai Puteri merupakan antara pantai pelancongan popular di Negeri Melaka, namun ia berdepan masalah hakisan yang teruk sebelum ini.
“Jadi, saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada PETRA kerana cakna terhadap masalah ini dan membantu untuk meluluskan projek ini.
“Buat masa ini, saya difahamkan oleh pihak JPS bahawa projek ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan tembok penahan dan pada masa sama ia juga melibatkan penambakan bagi memastikan struktur pantai ini lebih utuh dan kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat Parlimen Tangga Batu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob, Tanjung Minyak, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; serta lain-lain kenamaan.
Menurut Rais, selain isu hakisan, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga sedang dalam perancangan untuk menyusun semula penempatan peniaga di Pantai Puteri bagi memastikan pantai peranginan itu lebih teratur.
Jelas beliau, lambakan peniaga di kawasan itu mengundang beberapa permasalahan, antaranya tidak mempunyai permit atau lesen, selain ada yang mengabaikan aspek keselamatan pengunjung dengan berniaga di kawasan yang berlaku hakisan.
“Oleh itu, kita tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku dan insya-Allah MBMB bersama Adun kawasan akan membuat penilaian semula bagi membuat susun semula di kawasan berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.