
‘SNOW WORLD’ BERTEMAKAN WARISAN SEJARAH DI MELAKA
AYER KEROH, 13 Mac – Mahu menikmati asam pedas, melawat lokasi bersejarah dan merasai suasana kampung antara daya penarik menggamit orang ramai untuk datang ke Melaka khusus pada hujung minggu.
Selepas ini tidak mustahil lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka untuk merasai pengalaman bermain salji di taman tema Snow World, Kompleks Melaka Mall, akan mula dibuka kepada orang ramai pada 21 Mac ini.
Projek ini diterajui oleh Pengerusi Snow World, Thomas Choong Kah Fook yang sebelum ini telah berjaya mengendalikan taman salji di Star City, Manila selama 20 tahun dan Cebu, Filipina sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Thomas Choong, Snow World di Melaka direka khas untuk membawa pengalaman berbeza dengan menampilkan ikon warisan tempatan seperti Jonker Walk, Kampung Morten dan Bangunan Merah dengan pemandangan dilitupi salji.
“Konsep ini diilhamkan bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai keindahan budaya Melaka dalam keadaan cuaca yang dingin.
“Kita ingin orang ramai merasai pengalaman berada di Melaka dalam suasana bersalji. Justeru, kami membina rumah-rumah tradisional dan struktur bersejarah di dalam Snow World ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Snow World Melaka Mall, di sini, hari ini.

Katanya selain reka bentuk unik, taman tema ini turut menawarkan pelbagai fasiliti menarik seperti gelongsor ais, kafe yang menyajikan cendol gula Melaka serta salji buatan yang dijana menggunakan mesin khas.
“Suhu di dalam Snow World dikawal sekitar 10 hingga 20 darjah celsius bagi memastikan pengunjung selesa, seronok dan dapat menikmati pengalaman bermain salji tanpa terlalu sejuk.
“Kami juga menawarkan harga tiket yang berpatutan untuk memastikan lebih ramai warga tempatan dapat merasai pengalaman ini. Tiket bagi dewasa berharga RM48, manakala kanak-kanak RM43,” katanya.
Ujarnya lagi, pemilihan Melaka Mall sebagai lokasi pertama Snow World di Malaysia juga dianggap strategik kerana berada di antara pusat bandar.
“Lokasi ini menjadi laluan utama bagi mereka yang datang dari Ayer Keroh atau melalui pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh, jadi mereka boleh singgah ke sini dahulu sebelum ke Banda Hilir.
“Selain itu, kami juga mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) untuk mewujudkan taman tema salji ini.
“Dengan pembukaan Snow World, Melaka dijangka menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.