
MPJ KONGSI REZEKI RAMADAN
JASIN 12 Mac – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyemarakkan bulan mulia ini dengan Program Kongsi Rezeki Ramadan 2025 berkonsepkan sumbangan pakaian terpakai kepada mereka yang memerlukan.
Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata program selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mac depan (Rabu hingga Jumaat) akan diadakan di perkarangan Vista Alamanda MPJ dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Program ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dengan menyediakan pakaian terpakai yang masih elok secara percuma.
“Mereka yang memerlukan terutama di daerah Jasin amat dialu-alukan untuk hadir dan mendapatkan pakaian yang sedia ada.
“Saya percaya inisiatif ini mampu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik selain menggalakkan semangat perpaduan dan tolong – menolong dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pada masa sama, Mohd Shaiful Hizam berkata, menerusi program itu juga MPJ membuka ruang kepada masyarakat yang ingin menyumbang pakaian terpakai kepada mereka yang memerlukan.
“Kami mengalu-alukan mereka yang berhasrat untuk berkongsi rezeki, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Sumbangan boleh dihantar ke khemah program MPJ sepanjang tempoh program.
“Setiap pakaian didermakan akan memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan.
“Diharap orang ramai dapat menyumbang kepada program ini kerana ia bukan sahaja menjadi platform kebajikan tetapi juga simbol kasih sayang dan keprihatinan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.