
MPAG EDAR LEBIH 800 BUNGKUS BUBUR LAMBUK
ALOR GAJAH 11 Mac – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengagihkan lebih 800 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai dan pengguna jalan raya yang melalui Dataran Keris, di sini, petang tadi.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, ia merupakan aktiviti tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Katanya, edaran bubur lambuk bagi Ramadan tahun ini akan dilaksanakan secara berfasa di lokasi yang sama.
“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan kami bermula pada jam 3.45 petang dan semuanya habis diagihkan dalam masa kurang satu jam.
“Atas semangat memeriahkan Ramadan dan berkongsi rezeki agihan bubur lambuk dibuat tanpa mengira kaum,” katanya ketika ditemui selepas selesai melaksanakan agihan bubur lambuk di perkarangan Dataran Keris.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Zulkiflee berkata, program sama dijadualkan 18 Mac ini dijangka lebih meriah kerana turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM) Melaka melibatkan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.