Sorting by

×

BOMBA TERUS BERJASA, SUMBANG 40 BAKUL RAMADAN KEPADA ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

JASIN 10 Mac – Bukan sekadar berjasa setiap kali berlaku bencana atau kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka juga cakna terhadap nasib asnaf dan anak-anak yatim di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keprihatinan JBPM Melaka diterjemahkan menerusi sumbangan 40 Bakul Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan dalam Parlimen Jasin.

Ab Rauf berkata, sumbangan Bakul Ramadan adalah antara pengisian Program Ihya Ramadan 1446H Bersama Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

“Saya difahamkan penganjuran program ini sudah memasuki tahun keempat, JBPM Melaka memperuntukkan sebanyak RM8,000 untuk disalurkan dalam bentuk 40 Bakul Ramadan.

“Peruntukan sumbangan ini disalurkan oleh individu kepada Tabung Khairat Bomba Melaka untuk diagihkan kepada golongan memerlukan,” kata Ketua Menteri.

Terdahulu, Ab Rauf bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, menyampaikan sumbangan berkenaan kepada penerima di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin bersama Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berharap agar lebih ramai lagi pihak tampil untuk bersama-sama menceriakan dan meringankan beban asnaf dengan menyalurkan sumbangan serta memberikan sokongan kepada golongan itu.

“Tanggungjawab membantu golongan kurang berkemampuan bukan terletak pada bahu Kerajaan Negeri semata-mata, tetapi juga memerlukan sokongan dan penglibatan aktif daripada semua pihak. Bersama-sama kita menghulurkan bantuan khusus sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Semoga program seumpama ini akan terus mengeratkan jalinan ukhwah dan memperkukuhkan sinergi kebersamaan dalam memastikan keperluan serta kesejahteraan rakyat Melaka sentiasa terpelihara,” katanya.

Selain meraikan golongan kurang berkemampuan program sama turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 pegawai dan anggota JBPM Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post PEGAWAI KESELAMATAN RUGI LEBIH RM300,000 DITIPU PHONE SCAM