Sorting by

×

PENSYARAH UTEM BANTU TINGKAT EKONOMI WANITA JADI USAHAWAN F&B

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Mac – Sekumpulan pensyarah dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan projek khas meningkatkan tahap ekonomi golongan wanita menjadi usahawanita yang berjaya dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Program ini melibatkan sekumpulan 40 orang wanita dari Kampung Angkat Madani – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Kampung Pulau, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, baru-baru ini.

Ketua Projek Kursus Keusahawanan ini, Profesor Madya Dr. Juhaini Jabar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahwanan (FPTT), UTeM berkata, program iTU bertujuan untuk melatih dan membimbing seramai 40 orang wanita untuk menjadi usahawan F&B.

Jelasnya, latihan yang diberikan bermula dari peringkat asas sehingga ke tahap yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara berdikari sendiri yang mana para peserta didedahkan kepada pengetahuan komprehensif melibatkan semua aspek perniagaan F&B.

“Ia menyentuh tentang strategi keunikan jualan, pengurusan operasi, perancangan kewangan dan penetapan harga, pengurusan risiko serta kepentingan hak harta intelek kepada perniagaan.

“Justeru kita yakin para peserta mampu mencapai keyakinan yang tinggi di samping menguasai kemahiran langsung dalam industri ini sekaligus melonjakkan mereka untuk mampu bersaing dan beroleh kejayaan dalam industri F&B ini,” ujarnya.

Menjelaskan tentang siri perjalanan kursus ini, Juhaini menyatakan ia terbahagi kepada tiga fasa yang melibatkan fasa pembelajaran teori, kursus masakan barat bersijil dan lawatan industri.

Projek kursus keusahawan ini merupakan salah satu program di bawah kelolaan dan bajet dari Pusat Hubungan Kolaborasi RICE-UTeM yang turut melibatkan komitmen sekumpulan pensyarah dari FPTT, UTeM iaitu Prof. Madya Dr. Norain Ismail, Dr. Murzidah Ahmad Murad, Dr. Siti Norbaya Yahaya dan Dr. Nusaibah Mansor.

Juhaini berkata, terdapat beberapa kepentingan bidang keusahawan dalam industri F&B antaranya dapat mencipta serta membuka peluang pekerjaan di samping membuka peluang iringan kepada industri sokongan.

“Ia membantu meningkatkan pendapatan, merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyokong pertumbuhan usahawan mikro industri F&B serta memperkasakan golongan usahawan wanita yang ingin memulakan perniagaan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menyatakan UTeM terus komited mereflesikan perkongsian kepakaran yang dimiliki kepada golongan komuniti dalam negeri serta lebih dari itu.

“Menerusi projek ini kita boleh melahirkan ramai usahawan dari kalangan wanita kampung mampu melonjakkan taraf ekonomi mereka ke arah lebih baik di samping mewarnai corak rantaian perniagaan setempat.

“Pada masa yang sama projek ini turut menjadi cerminan kesungguhan UTeM memberikan pengisian berimpak kepada projek Kampung Angkat Madani – KPT di Kampung Pulau, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka yang mana merupakan Kampung Angkat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KEMBARA SAHUR MAIM IMARAH RAMADAN
Next post PELANCONG CHINA MAUT KETIKA MENYELAM DI SEMPORNA