
BAZAR IKONIK REKOD 20,000 PENGUNJUNG DALAM LAPAN HARI
BANDA HILIR 9 Mac – Bazar Ikonik Banda Hilir mencetus fenomena luar biasa apabila merekodkan lebih 20,000 pengunjung dalam tempoh hanya lapan hari beroperasi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan data ‘crowd monitoring system’ yang menunjukkan peningkatan ketara sejak hari pertama bazar berkenaan beroperasi.
“Dengan berbaki lebih tiga minggu sebelum Aidilfitri, jumlah pengunjung dijangka terus bertambah dan dijangka boleh mencecah lebih 60,000 orang.
“Insya-Allah kalau kita dapat bersama menjaga kebersihan kawasan ini, kawasan ini akan menjadi lebih meriah lagi.
“Kawasan ini juga cukup selesa untuk menampung lebih 100,000 pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan walkabout di bazar berkenaan, malam tadi.
Mengulas lanjut Shadan berkata, uniknya Bazar Ikonik tersebut adalah selain membeli belah, pengunjung juga boleh melancong dan mempelajari sejarah Negeri Melaka.
“Apabila Ketua Menteri menyantuni pengunjung, rata-rata mereka yang datang bukan sahaja dari Melaka, tetapi ada yang datang dari Johor, Singapura, Kuala Lumpur dan juga beberapa negeri yang lain.
“Maksudnya sambil datang ke Melaka, mereka turut menikmati produk pelancongan di sini dan pada masa sama dapat membeli kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.