
‘TERIMA KASIH KETUA MENTERI, YB HELMY’
DUYONG 7 Mac – Mangsa bencana banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menyatakan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang segera menghulurkan bantuan kebajikan kepada mangsa terjejas dengan musibah berkenaan.
Bantuan berupa kit makanan, selain makanan untuk berbuka puasa serta sahur nyata membantu dalam memberi kelegaan dan meringankan bebanan yang ditanggung seramai 40 mangsa banjir daripada 10 buah keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini.
Seorang warga emas, Maznah Mohd Das, 80, menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri serta agensi kerajaan yang terlibat kerana pantas menyalurkan bantuan dalam aspek penyelamatan dan kebajikan.
“Banjir di kawasan rumah saya kali ini agak teruk berbanding sebelum ini dan YB (Mohd Noor Helmy) kerap ke Kampung Semabok bagi memantau kawasan yang dijangka terjejas.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri, YB Helmy serta agensi-agensi kerajaan lain kerana membantu saya sekeluarga serta mereka yang terjejas akibat banjir dengan pantas,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di PPS SK Seri Duyong, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, A. Razak bin Razali, 66, menyifatkan bencana banjir yang melanda kawasan rumahnya di Permatang Duyong tidak menjejaskan kerosakan harta benda namun dia terpaksa ambil tempoh masa yang lama untuk mencuci serta mengemas rumahnya itu.
“Rumah saya dinaiki air sejak waktu subuh lagi, mujur tidak melibatkan seabrang kerosakan harta benda. Namun begitu, untuk mencuci serta mengemas rumah, ia merupakan satu proses yang agak rumit ditambah lagi di bulan Ramadan ini.

“Tetapi saya bersyukur kerana YB (Mohd Noor Helmy) telah menggerakkan inisiatif membersihkan rumah mangsa banjir melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana tidak putus memantau keadaan kami di sini,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.