Sorting by

×

JUMLAH MANGSA BANJIR DIJANGKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MERLIMAU 6 Mac – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menjangkakan jumlah mangsa terjejas banjir di negeri ini akan meningkat jika hujan lebat berterusan.

Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memastikan anggota dan aset berkaitan segera dihantar ke lokasi terjejas banjir.

Katanya, APM Melaka melakukan persiapan berikutan amaran hujan beserta ribut petir bakal melanda Melaka malam ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Semua anggota APM sekitar Melaka telah dikerah untuk sentiasa bersiap siaga bagi menyalurkan bantuan sekiranya hujan berterusan. Setakat ini, hanya dua daerah membabitkan dua kampung di Jasin dan 32 kawasan di Melaka Tengah yang terjejas teruk.

“Sekiranya ramalan kaji cuaca (MetMalaysia) benar dan taburan hujan di lokasi rendah meningkat, kita jangkakan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) serta mangsa akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum yang turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, petang tadi.

Untuk rekod, setakat jam 8 malam tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan sebanyak empat PPS dibuka membabitkan 77 keluarga dengan jumlah 248 mangsa dari 34 kawasan terjejas di daerah Jasin dan Melaka Tengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post RELA JUAL RUMAH ASALKAN ANAK SIHAT