
IBU DAN BAYI 21 HARI TERPAKSA BERPANTANG DI PPS
MERLIMAU 6 Mac – Seorang wanita terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan pagi tadi.
Nur Hijrah Jalauddin, 36, bersama bayinya Nur Alya Nasuha Abdullah berusia 21 hari dipindahkan ke PPS terbabit pagi tadi apabila kediaman mereka di Kampung Kilang Berapi, dinaiki air.
Ketika ditemui ibu kepada tiga anak ini reda dan menganggap ujian berpantang di PPS itu satu pengalaman yang baharu buat dirinya.
“Saya anggap ini adalah ujian Ramadan pada tahun ini, kerana rumah yang kami sekeluarga diami sudah tujuh tahun berturut-turut memang akan banjir jika hujan terlalu lebat melebihi tiga jam.
“Air naik sangat cepat, apabila sudah cecah paras buku lali saya mula risau dah terus hubungi suami minta dia segera pulang meskipun baru sahaja sampai di tempat kerjanya.
“Alhamdulillah, pihak bomba bertindak segera, mereka bantu saya dan bayi berpindah sementara menunggu suami mengambil barangan keperluan dalam rumah dan selepas itu kami sekeluarga ke PPS sendiri,” katanya.
Sementara itu suri rumah, Nurul Masturinah Aziz, 28, menyifatkan banjir kali ini antara terburuk sepanjang beberapa kali kediamannya di Kampung Kilang Berapi, dinaiki air.
Jelasnya, dia menyedari air mula memasuki rumah selepas selesai bersahut bersama Ahli keluarga yang lain.
“Saya sedar hujan lebat bermula jam 5 pagi ketika bersahur, namun dua jam selepas itu suami minta untuk kemas pakaian dan barangan penting sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jam 7.30 pagi air naik sampai paras betis, nasib ketika itu anak-anak sudah dihantar ke sekolah,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.