Sorting by

×

MELAKA BAKAL TUAN RUMAH GLOBAL ESKOOTR CHAMPIONSHIP 2025

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 6 Mac – Melaka akan menjadi tuan rumah bagi perlumbaan mikromobiliti (skuter elektrik) bersempena Global ESkootr Championship (eSC) 2025 dijadualkan berlangsung Oktober depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah acara itu diumumkan pada Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2025 di Jerman.

“Melaka akan menjadi lokasi pertama di rantau Asia diberi kepercayaan sebagai tuan rumah kejohanan perlumbaan mikromobiliti ini. Cadangan untuk melangsungkan acara itu di negeri ini adalah berdasarkan kepada status Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO. Negeri kita memiliki latar belakang sejarah yang unik, infrastruktur sedia ada pula sesuai bagi penganjuran sukan mikromobiliti seperti eSC.

“Lokasi yang strategik dan komitmen Kerajaan Negeri dalam memajukan pelancongan lestari serta sukan berimpak tinggi menjadikan Melaka sebagai pilihan terbaik untuk membawa perlumbaan inovatif ini ke Asia,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Abdul Razak berkata, pengumuman itu kemudian disusuli majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Sport Tourism Association (MySTA) diwakili Azura Zainol Abidin, manakala ESC pula diwakili oleh Julian Pate.

Hadir sama menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan adalah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, penganjuran eSC 2025 di Melaka juga bakal memberi impak besar kepada ekosisten ekonomi tempatan dan dijangka menggamit lebih ramai peminat pelancong sukan seluruh dunia, sekali gus menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 34 KAWASAN DINAIKI AIR, TIGA PPS DIBUKA DI MELAKA
Next post BANJIR MELAKA: 225 MANGSA DIPINDAHKAN, 4 PPS KINI DIBUKA