
‘SYURGA’ KUIH RAYA RM10 DI KAMPUNG GANGSA
DURIAN TUNGGAL 6 Mac – Memulakan langkah dengan niat membantu golongan asnaf menjana pendapatan mendorong ibu kepada tiga anak membuka kedai sendiri dengan menjual kuih raya pada harga mampu milik.
Perniagaan yang dinamakan Syurga Cookies Homemade itu diusahakan seorang usahawan wanita, Azie Izhar, 39, di Jalan Keretapi Lama, Kampung Gangsa dengan menjual pelbagai jenis kuih raya pada harga serendah RM10.
Azie ketika ditemui Melaka Hari Ini berkata, perniagaan itu pada asalnya hanya beroperasi secara dalam talian sejak 2017, namun ia berkembang menjadi sebuah kedai fizikal selepas menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.
Menurutnya, sejak memulakan perniagaan itu dia gembira kerana niatnya mahu membantu orang ramai merasai pelbagai manisan kuih pada harga murah berjaya direalisasikan, malah ada yang berterima kasih kerana ia dapat membantu ramai pihak.
“Niat awal saya adalah untuk membantu golongan asnaf menjana pendapatan, waktu itu pada tahun 2017 yang mana saya cuba ketengahkan asnaf ini untuk mencuba bidang perniagaan.
“Mereka (asnaf) buat kuih kemudian saya promosikan dalam talian, apabila dapat tempahan kita akan jual di bazar. Jadi semakin lama, semakin ramai pula asnaf dan orang lain yang mahu sertai.
“Dari situ terlintas kenapa tidak saya cuba buka kedai sendiri di sebelah rumah saya untuk bantu mereka, alhamdulillah tahun 2022 terbinanya kedai ini walaupun keluasannya terhad,” katanya.

Menurut Azie sehingga kini kira-kira 200 jenis kuih raya dijual di kedainya yang dihantar oleh 53 vendor terdiri daripada golongan asnaf, ahli keluarga dan rakan terdekat.
Jelasnya, bagi memastikan kuih yang dijual menepati citarasa pembeli, setiap makanan yang dihantar akan melalui proses uji rasa terlebih dahulu bagi menjaga kualitinya.
“Selain itu, saya juga menetapkan setiap vendor yang hantar kuih tidak boleh menghantar kuih yang sama,” katanya.

Azie berkata, usahanya untuk membuka kedai kuih raya RM10 itu turut mendapat sokongan suaminya Azley Alias, 42, yang sanggup berhenti kerja di sebuah kilang pembuatan kapal.
“Suami nekad membantu saya kerana sebelum ini saya banyak menghantar barang seorang diri, jadi dia buat keputusan berhenti kerja.
“Kini dia (suami) yang membantu saya untuk melayan pelanggan yang datang setiap hari dan alhamdulillah pelanggan tidak pernah jemu untuk datang sini membeli kuih raya,” katanya.
Menurut Azie, kedainya beroperasi pada setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 1.30 petang dan berhenti rehat seketika sebelum disambung semula pada jam 5.30 petang hingga 11 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.