
LIMA MUZIUM TAWAR HARGA TIKET RM3
AYER KEROH 4 Mac – Bagi peminat sejarah dan seni, melawat muzium adalah satu aktiviti yang menarik dan berinformasi, Namun ramai yang beranggapan bahawa tiket untuk masuk ke gedung ilmu itu memerlukan belanja yang tinggi.
Hakikatnya, terdapat beberapa muzium di Negeri Melaka yang menawarkan harga tiket serendah RM3 sahaja. Ini perkongsian Melaka Hari Ini untuk dimanfaatkan kepada orang ramai yang berminat berkunjung ke muzium.
Berikut adalah lima muzium yang boleh dikunjungi dengan bajet rendah:
Muzium Orang Asli
Muzium yang diadaptasikan daripada replika rumah Orang Asli yang terdapat di negara ini terletak bersebelahan Taman Buaya, Ayer Keroh.
la telah dibuka kepada orang ramai pada 3 Februari 1997 dengan mengkhususkan kepada peragaan bahan dan peralatan harian suku kaum asli seperti Senoi, Jahut dan Mah Meri.
Antara paparan utama muzium ini adalah berkaitan adat perkahwinan dan upacara kematian masyarakat Orang Asli di samping pelbagai hasil kerja tangan mereka yang unik seperti ukiran kayu serta anyaman.
Muzium Warisan dan Sejarah Naning
Muzium Warisan dan Sejarah Naning, terletak di Bukit Naning, Alor Gajah, merupakan bekas kediaman dan Balai Rasmi Penghulu Naning yang dibina pada tahun 1951.
Bangunan ini menjadi pusat pentadbiran Adat Perpatih Naning sehingga 2004. Selepas diserahkan kepada Perzim pada 2015, kerja konservasi telah dijalankan bagi mengubah suai ia menjadi muzium yang menampilkan bahan pameran warisan dan sejarah naning.

Muzium Pertanian
Muzium Pertanian di Melaka mencerminkan peranan penting daerah Jasin sebagai pengeluar utama bijih timah dan hasil pertanian pada masa lalu.
Muzium ini mempamerkan sejarah aktivíti dan ekonomi masyarakat setempat dengan tumpuan kepada komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, kelapa serta penghasilan gula Melaka dan aktiviti perikanan di Malaysia.
Pameran yang disusun menggunakan diorama memaparkan pelbagai aktiviti termasuk membanting padi, pembuatan gula Melaka, suasana ladang kelapa sawit serta penerangan mengenai proses penghasilan susu getah. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat peragaan peralatan pertanian tradisional.

Galeri Demang Abdul Ghani
Galeri ini mempamerkan keunikan seni bina rumah tradisional Melayu yang dipercayai dibina oleh Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan dari Palembang, pada tahun 1831.
Penghulu atau demang pada masa itu adalah pemimpin masyarakat yang dihormati, berperanan sebagai ‘raja kecil.’ Rumah ini dibina tanpa penggunaan paku, menampilkan enam ruang utama: anjung, serambi, rumah ibu, pelantar, dapur, serta dua loteng khas untuk wanita.
Selain sebagai tempat tinggal, rumah ini menjadi pusat pentadbiran bagi perjumpaan masyarakat setempat. Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah ini: Penghulu Abdul Majid (1831-1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834-1934), dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1934-1978).

Galeri Golf
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob adalah orang yang mencetuskan penubuhan Galeri Golf Melaka.
Beliau amat meminati sukan golf dan melalui sokongan yang padu, hasrat ini telah berjaya direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Perzim pada tahun 2011.
Usaha menubuhkan galeri adalah yang pertama di Malaysia dan dijadikan pusat rujukan, maklumat dan pameran berkaitan golf terutamanya di Melaka.
Usaha ini juga dibuat bagi membantu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Melaka menjadikan negeri Melaka sebagai destinasi pilihan golf di rantau ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.