Sorting by

×

TIGA CEDERA DALAM KEMALANGAN DUA BUAH KERETA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 3 Mac – Tiga cedera termasuk seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang parah adalah pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang mengalami kecederaan di kepala kini dirawat di zon merah Hospital Melaka.

Manakala pemandu serta penumpang kereta Perodua Alza mengalami kecederaan di kepala dan kaki dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu seorang pemandu e-hailing berusia 49 tahun bersama penumpang iaitu pekerja pusat beli belah sedang menghala dari arah Mahkota Parade menghala ke Banda Hilir.

Katanya, ketika tiba di Jalan Syed Abdul Aziz berhadapan sebuah bank, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan yang dipandu lelaki berusia 35 tahun telah terbabas lalu membelok ke kanan dan masuk ke laluan hadapan Perodua Alza itu menyebabkan berlaku rempuhan.

“Akibat kemalangan tersebut, tiga mangsa telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu dan penumpang Perodua Alza telah memberi keterangan secara lisan dan tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku, sementara pemandu Perodua Myvi masih belum stabil untuk memberi keterangan lisan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut, namun terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MAYAT REPUT DITEMUKAN DALAM TANDAS TERBIAR
Next post KONGSI ILMU URUS SISA PEPEJAL, PERLUAS KEMPEN KITAR SEMULA