Sorting by

×

BAZAR IKONIK BANDA HILIR PILIHAN PENGUNJUNG TEMPATAN, PELANCONG ASING

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 3 Mac – Bukan sahaja menjadi pilihan pengunjung tempatan malah Bazar Ikonik Banda Hilir, di sini, turut menjadi tumpuan pelancong asing yang singgah untuk membeli belah.

Peniaga songkok, Edy Mohamad, 50, berkata meskipun penganjuran bazar itu pertama kali diadakan ia dilihat mendapat sambutan kerana jumlah pengunjung yang singgah amat memberangsangkan.

Katanya, keputusan Kerajaan Negeri memindahkan Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah ke Banda Hilir sudah pasti mempunyai sebab tertentu termasuklah untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga.

Img 20250303 000203 900
PENIAGA songkok Edy Mohamad.

“Sejak mula dibuka pada 27 Februari lalu, sambutan pengunjung boleh katakan meriah apabila dari petang hingga ke tengah malam ada sahaja yang singgah termasuk dalam kalangan pelancong asing.

“Malah ada juga yang sudah mula membuat persiapan apabila mereka yang datang memilih songkok kelihatan membawa bersama baju raya baru dibeli,” katanya ketika ditemui.

Pengusaha ZW Songkok itu berkata, lokasi Bazar Ikonik Banda Hilir memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kerana pihak berkuasa menyediakan pelbagai kemudahan di sekitar seperti tandas dan surau.

“Lokasi amat strategik kemudahan awam pula tidak jauh, meskipun sebelum ini ada yang merungut kerana bazar dipindahkan ke lokasi baharu tetapi sekarang mendapat pujian. Tawaran hadiah cabutan bertuah tiga buah motosikal juga menjadi tarikan orang ramai untuk datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, peniaga biskut raya Soraya Abdullah, 60, berkata, Bazar Ikonik Banda Hilir adalah percubaan pertamanya berniaga di bazar kerana sebelum ini dia hanya memasarkan produk jualan menerusi platform dalam talian.

Img 20250303 000246 611
PENIAGA Soraya Abdullah, menunjukkan tart yang dijual di gerainya di Bazar Ikonik Banda Hilir.

“Melihat lokasi di tengah bandaraya yang menjadi kawasan tumpuan ramai, tahun ini saya bersama suami cuba untuk berniaga di bazar sebagai vendor jualan biskut raya termasuk produk sendiri iaitu ‘garlic butter spread’.

“Untuk tapak bazar ini juga saya disyorkan oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan harga sewa tapak di sini boleh dikatakan berpatutan selain amat berharap jualan di sini boleh bantu jana pendapatan,” katanya pemilik Miss Farr.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MAIM PERUNTUK RM800,000 UNTUK DUA RUMAH ANAK YATIM
Next post MAYAT REPUT DITEMUKAN DALAM TANDAS TERBIAR