
JELAJAH BAITULMAL MAIM IMARAH MASJID MENJELANG RAMADAN
BANDARAYA MELAKA 1 Mac – Bersempena bulan Ramadan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengadakan Program Jelajah Baitulmal bagi mengimarahkan masjid di negeri ini.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, Jelajah Baitulmal itu terbahagi kepada dua pengisian iaitu Ceramah Jelajah Baitulmal MAIM dan Gegau Subuh Jelajah Baitulmal MAIM.
Katanya, menerusi program itu, Masjid As-Salihin Permatang Pasir dan Masjid Al-Aminin Batang Tiga antara masjid yang terpilih dalam siri jelajah yang diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan.
“Bersempena dengan bulan Ramadan kita membawa ceramah yang menyentuh isu berkaitan qada bayaran fidyah puasa. Perkara ini antara yang diuruskan oleh MAIM.
“Jadi menerusi perkongsian atau ceramah bertajuk ‘Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan, Kupasan Qadha Dan Fidyah Puasa’ yang disampaikan, kariah atau jemaah yang hadir dapat memahami sekali gus berkongsi dengan yang lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shaifulfazlee, selain ceramah, Gegau Subuh Jelajah Baitulmal MAIM turut mendapat sambutan apabila kira-kira 200 jemaah hadir menunaikan solat subuh berjemaah.
“Selain solat subuh berjemaah turut berlangsung adalah qiamullai dan kuliah subuh yang dikendalikan oleh penceramah Ustaz Dzulkarnain Hamzah.
“Penganjuran ceramah dan solat subuh jemaah ini adalah program ‘one-off’ namun begitu kita akan teruskan lagi pada masa akan datang kerana program-program sebegini bukan sahaja dapat mengimarahkan masjid malah mengeratkan silaturahim antara kariah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.