
PENIAGA BAZAR IKONIK SERONOK DAPAT ‘PIKAT’ PELANCONG MEMBELI
BANDA HILIR 1 Mac – Bazar Ikonik Banda Hilir berkonsep bazar mega yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk persiapan menyambut Aidilfitri pastinya akan menjadi lokasi tumpuan pengunjung sepanjang Ramadan tahun ini.
Kedudukannya di tengah bandar raya menghimpunkan hampir 300 peniaga membuatkan lokasi itu dijangka menerima kunjungan ramai orang termasuk pelancong terutama pada hujung minggu.
Bukan sahaja pengunjung malah peniaga bazar turut merasai keterujaannya kerana pemindahan ke lokasi baharu itu menjadikan suasana lebih menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ia diakui peniaga, Muhammad Irfan Haikal Yusof, 20, ketika ditemui Melaka Hari Ini yang menyifatkan Bazar Ikonik Banda Hilir itu menjadi ruangan mendekati golongan pelancong seterusnya memasarkan produk tempatan.
“Ikutkan ini kali pertama saya meniaga di bazar tetapi seronok mencuba kerana tapak baharu nampak baik setakat ini memandangkan ramai pelancong datang tengok-tengok baju Melayu, samping dan sebagainya.
“Bila dekat sini sahaja bazar yang ada dalam Melaka, jadi ramailah pelancong dan pengunjung yang datang insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, peniaga songkok, Adamharris Salleh, 20, pula beranggapan cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menghimpunkan semua peniaga di satu tempat sebagai satu persaingan sihat dalam perniagaan.
“Kalau tengok memang persaingan itu nampak kuat sebab ramai yang berniaga benda sama di sini. Jadi peniaga kena kreatif.
“Saya percaya rezeki itu akan ada dan mungkin lebih daripada tahun-tahun sebelum ini sebab di sini kawasan pelancongan,” katanya.
Bazar Ikonik Banda Hilir yang terletak dari Jalan Kota hingga ke hadapan Menara Taming Sari itu boleh dihadiri para pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan ia beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 2 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.